![]() |
|
katak tebu beracun merupakan katak yang paling besar dalam speses katak.
|
MUNGKIN agak lucu juga melihatkan kisah katak kali ini. Namun dalam tempoh seminggu lepas kisah katak berjaya mencuri tumpuan ramai kerana kisahnya yang mungkin agak sinikal tetapi ada kebaikannya.
Seperti yang sedia maklum ramai yang tidak menyukai haiwan ini mungkin kerana fizikal dan rupanya yang boleh dikategorikan agak hodoh selain sering mengeluarkan bunyi yang mengganggu ketenteraman.
Pastinya ramai wanita yang bersetuju dengan kenyataan ini. Walaupun sifat semulajadinya mungkin membuatkan kebanyakan kita tidak selesa namun seperti setiap benda bernyawa yang diciptakan tuhan ia turut memainkan peranan penting dalam kehidupan. Pastinya setiap ciptaan-Nya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Kisah mengenai katak minggu ini bermula dengan berita mengenai katak tebu beracun yang juga spesis katak paling merbahaya di dunia bakal dihapuskan di Australia. Namun ini tidak bermaksud ia akan dihapuskan sama sekali cuma ribuan katak-katak ini yang sememangnya hidup melata di bumi kanggaru itu telah ditangkap dan bakal dihapuskan untuk dijadikan baja. Usaha penangkapan katak jenis ini adalah sebahagian dari program Toad Day Out’s yang dianjurkan penduduk di utara Queensland untuk menghapuskan sebahagian dari binatang itu.
Mungkin agak pelik tapi itulah hakikatnya. Dianggarkan lebih 10,000 ekor katak yang bersamaan dengan satu tan, akan ditangkap sebelum dihapuskan untuk dijadikan baja bagi kegunaan para petani.
Haiwan ini kemudiannya akan dibunuh secara “kemanusiaan” dengan membungkusnya di dalam beg plastik sebelum dibiarkan beku di dalam peti sejuk. Haiwan ini yang mempunyai racun berbahaya di belakang kepalanya dianggap sebagai haiwan paling beracun dan turut menimbulkan masalah dan kekecohan kepada masyarakat dan alam sekitar.
Katak ini atau nama saintifiknya Bufo marinus juga dikenali sebagai Giant Neotropical Toad atau katak laut (Marine toad). Katak ini merupakan paling besar dalam keluarga katak dan dikatakan berasal dari Amerika Latin. Namun ia kemudiannya dibawa keluar untuk dibiakkan terutama di negara-negara Pasifik dan Caribbean kerana keberkesanannya untuk menjadi pemusnah kepada haiwan perosak di kawasan pertanian.
Haiwan ini sangat berkesan digunakan dikawasan tanaman tebu yang juga menjadi sebab kenapa haiwan ini dinamakan sebagai katak tebu beracun. Katak ini sememangnya terkenal dengan saiznya yang besar dan katak betina pula lebih besar dari katak jantan.
Bagi kebanyakan rakyat Australia mereka sememangnya sangat membenci katak jenis ini kerana ia sering sahaja membunuh haiwan peliharaan mereka. Ini kerana racun yang terdapat di bahagian belakang kepalanya mampu membunuh seekor ular mahupun buaya yang berkali ganda besar dari saiz katak tersebut. Oleh itu adalah tidak menghairankan kebanyakan penduduk di Queensland bersetuju membunuh haiwan ini.
Program Toad Day Out’s tahun ini merupakan kali kedua dianjurkan dan dijangkakan penglibatan orang ramai akan lebih meningkat berbanding tahun sebelumnya. Para penduduk diminta untuk mengumpulkan haiwan itu yang bergerak pada waktu malam dan kemudiannya dimasukkan di dalam beg plastik. Tempat pembunuhan “besar-besaran” haiwan itu akan dilakukan di daerah Townsville, Charters Towers dan Cairns.
Bangkai haiwan ini kemudiannya akan dijadikan baja yang akan digunakan di kawasan penanaman tebu.
penganjur
Menurut penganjur bersama program ini Lisa Arhens, apa yang dilakukan bukan semata-mata berniat untuk membunuh haiwan itu. Ia juga sebagai satu bentuk kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat tentang bahaya katak ini.
“Setiap katak betina mampu mengeluarkan 30,000 telur setahun bayangkan jika kesemua katak betina ini bertelur, jumlahnya memang menakutkan.
“Memang bukan semua telur ini akan terselamat namun semua telur itu merupakan bahan toksik yang merbahaya kerana racun yang terdapat pada mereka,” kata Arhens.
Ujarnya lagi, katak ini mampu membunuh ikan, burung dan haiwan peliharaan namun usaha ini tidak boleh dijalankan secara berterusan setiap masa kerana ia boleh memberi kesan kepada alam sekitar. Menurut Arhens setiap katak akan diukur saiznya dan katak yang terbesar setakat ini adalah melebihi 20 sentimeter.
“Bagi mereka yang berjaya menangkap katak tebu beracun paling besar, mereka akan diberikan trofi untuk mengenang usaha yang telah dilakukannya,” katanya.
Kisah kedua mengenai katak dalam minggu ini sama sekali berbeza dari kisah yang pertama. Ia menggambarkan kebaikan katak dalam membantu manusia apabila ditimpa malapetaka. Menurut saintis Britain, katak didakwa membantu manusia dalam mengesan aktiviti gempa bumi. Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dijalankan di sebuah tapak pembiakan katak di Itali, katak-katak ini menghilangkan diri beramai-ramai secara tiba-tiba beberapa hari sebelum kejadian gempa bumi berlaku. Ini membuktikan bahawa katak ini mampu mengesan perubahan persekitaran dan mampu merasa kegiatan gempa bumi akan berlaku dalam tempoh terdekat. Para pengkaji dari Open University di London telah berkampung di kawasan pembiakan itu dan mendapati beberapa hari sebelum kejadian gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter melanda bandar L’Aquila pada 16 April tahun lepas, secara tiba-tiba kebanyakan katak-katak di situ menghilangkan diri. Kawasan pembiakan itu terletak 74 kilometer dari tempat kejadian. Kejadian gempa bumi itu telah mengorbankan ratusan nyawa dan merosakkan sama sekali bandar L’Aquila. Menurut salah seorang pengkaji Rachel Grant, perkembangan ini menunjukkan katak mampu mengesan kesan-kesan sebelum gempa seperti pelepasan gas dan habuk yang mungkin menjadi penanda atau amaran awal akan berlakunya gempa bumi.



{ 2 comments… read them below or add one }
@7279853028656654732.0
@fitrijohari007 mmg besar,xpenah nmpk lagi la kt msia nih..harap2 jgn jmpe..huhu
besar gile katak tu…dr jauh bley nampak..seb bek x mkn org..huhu
{ 2 trackbacks }