![]() |
| KOMIK termahal dunia yang memaparkan watak adiwira Superman buat kali pertama yang diterbitkan pada April 1938. |
Salam semua…sedia maklum aku pown pelik komik komik kuno ni menjadi kegilaan orang ramai sekarang..mungkin disebabkan atas faktor minat membaca komik diorang sanggup membeli…korang baca ah ini…petikan dari Utusan Malaysia Online …..
BAGI kebanyakan kita komik dianggap sebagai sesuatu bahan bacaan santai bagi mengisi masa lapang. Ada yang berpandangan membaca komik adalah satu perkara yang tidak berfaedah. Mungkin kerana ia dilihat sebagai membazir masa serta tidak mengembangkan minda.
Untuk menyatakan perkara itu sebagai sesuatu yang salah mungkin ada kebenarannya kerana jika terlalu leka menghayatinya terutama kanak-kanak ia mampu menjejaskan perkara-perkara penting yang sepatutnya didahulukan. Namun untuk menghalang terus mereka dari membaca komik adalah sesuatu yang merugikan kerana bahan-bahan seperti inilah yang membantu manusia terutama kanak-kanak dalam merangsang minda dan imaginasi mereka. Mungkin kita berasa lucu tentang perkara ini. Tetapi jika kita lihat kepada pengarah-pengarah filem terkenal di Hollywood seperti Peter Jackson yang mengarah trilogi filem Lord of The Ring dan George Lucas yang terkenal melalui filem Star Wars yang membuka mata kebanyakan kita tentang fiksyen sains maka kita akan faham bagaimana pengaruh komik begitu mempengaruhi kehidupan. Bagi kedua pengarah terkenal ini komik-komik Superman, Batman, The Flash dan pelbagai lagi banyak membantu mereka dalam membentuk imaginasi mereka. Kreativiti yang dicanai sejak kecil dan keupayaan untuk berimaginasi tentang makhluk-makhluk pelik serta peralatan sains yang canggih yang tidak pernah terfikir oleh kita sebenarnya telah mula terdetik oleh mereka sejak dari kanak-kanak lagi, hasil dari imaginasi yang dibentuk melalui pengaruh komik. Maka kita boleh lihat betapa kreatifnya pemikiran dan kelainan yang cuba dibawa mereka dalam setiap filem yang dihasilkan.
Maka adalah tidak menghairankan apabila akhbar-akbar baru-baru ini melaporkan komik edisi terawal yang diterbitkan pada tahun 1938 dan dilelong semula baru-baru ini mencatat sejarah sebagai komik termahal pernah terjual.
Mungkin dari segi nilai klasik dan sejarah sememangnya komik sebegini sepatutnya dijual dengan harga tersebut. Komik berkenaan yang dikenali sebagai Action Comics nombor satu yang menampilkan watak Superman berjaya meraih hasil jualan berjumlah AS$1.5 juta (RM5.2 juta).
Komik tersebut dibeli dari seorang pengumpul dan kemudian dijual oleh Stephen Fisher dan Vincent Zurzolo yang memiliki syarikat lelongan yang berpejabat di Manhattan, ComicConnect.com kepada seorang pembida yang tidak diketahui. Malah komik itu terjual hanya setelah beberapa minit ia diiklankan di dalam Internet.
Komik tersebut yang dikeluarkan pada April 1938 juga merupakan kali pertama watak Superman ciptaan Jerry Siegel dan Joe Shuster dipertontonkan kepada umum. Komik berkenaan dianggap sebagai komik superhero sebenar dan pertama seumpamanya. Komik ini dikeluarkan secara antologi seperti mana komik-komik lain ketika itu.
Komik tersebut telah terjual sebanyak 200,000 naskhah dan dalam beberapa bulan ia telah meningkat kepada hampir sejuta naskah sebulan. Ketika itu Siegel dan Shuster dibayar sebanyak AS$10 (RM32) untuk setiap muka surat. Dikatakan pemilihan watak Superman untuk muka hadapan akhbar tersebut berlaku secara tidak sengaja kerana tempoh masa yang terhad untuk percetakan.
Jualan komik tersebut yang pertama menampilkan watak adiwira itu telah mengatasi rekod jualan lelong komik yang sama pada Februari lepas. Komik tersebut dijual pada harga AS$1 juta (RM3.2 juta) walaupun ia tidak berada dalam keadaan yang baik. Dianggarkan hanya terdapat 100 naskah komik tersebut sekarang. Pada tahun lepas edisi sama komik berkenaan telah dilelong dan dijual pada harga AS$317,000 (RM1.14 juta).
Ketika ia diterbitkan pada 1938, komik tersebut memaparkan watak Superman yang sedang mengangkat sebuah kereta berwarna hijau pada kulit muka hadapannya. Ketika itu ia cuma dijual pada harga AS$0.10 sen (RM0.32 sen).
Sebenarnya penjualan komik ini telah berjaya mengembalikan watak Superman ke kedudukan teratas senarai komik termahal kerana sebelum itu pada awal Februari lepas komik Detective Comic yang meletakkan watak Batman di muka depannya berjaya mencatat sejarah baru. Komik berkenaan dijual pada harga AS$1,075,500 juta (RM3.4 juta). Majalah edisi ke 27 Detective Comics itu dan diterbitkan pada 1938 juga dijual kepada seorang pembida yang tidak dikenali. Agak melucukan, keadaan ketika itu kecoh di kalangan peminat komik yang menyatakan watak Batman akhirnya berjaya menumbangkan Superman. Namun dalam tempoh tidak sampai dua bulan Superman berjaya mengalahkan Batman dari segi persaingan harga termahal.
Komik berkenaan yang menggambarkan Batman sedang bergayut pada seutas tali di atas bangunan tinggi sambil menewaskan penjahat telah digredkan mempunyai kualiti lapan dari sepuluh atas keadaan keseluruhannya. Ia hanya dibeli pada harga AS$100 (RM320) oleh seorang pengumpul lewat tahun 60-an. Namun kini ia dijual pada harga berlipat kali ganda akibat kegilaan peminat komik yang mahu menyimpannya sebagai simpanan dan kenangan peribadi.
Selain komik-komik yang terjual dengan harga yang mungkin dinilai sesetengah orang sebagai keterlaluan, beberapa komik lain juga dikatakan terlalu bernilai bagi para peminatnya. Antara komik yang bernilai tinggi dan berharga jutaan dolar adalah seperti komik Fantastic Four yang menonjolkan buat pertama kalinya satu pasukan superhero. Komik tersebut yang dikeluarkan buat kali pertama pada November 1961 telah dicipta oleh pelukis terkenal Stan Lee dan Jack Kirby. Komik ini dikatakan bernilai lebih setengah juta AS.
Selain itu komik pertama Batman yang dikeluarkan pada 1940 dikatakan bernilai AS$300,000 (RM960,000). Karakter Batman mula ditonjolkan dalam Detective Comics siri ke 27 pada Mei 1939. Watak ini menjadi begitu popular selepas itu dan kemudian watak pembantu Robin turut diselitkan dalam komik pertamanya. Namun watak-watak jahatnya yang terkenal seperti Joker dan Catwomen benar-benar membantu menaikkan nama Batman di persada komik dunia.
Watak The Flash yang menjadi kegilaan kanak-kanak di seluruh dunia juga merupakan antara komik termahal dunia. Komik pertama yang menonjolkan wataknya, Flash Comics dikeluarkan pada 1940 bersama watak-watak lain seperti Hawkman, Hawkgirl dan Black Canary. Komik ini dikatakan bernilai AS$250,000 (RM800,000) dan komiknya mula diberi peluang untuk bergerak sendiri pada 1941.
Satu lagi watak komik yang turut menjadi kegilaan ramai adalah Captain America. Watak ini yang nyata diwujudkan sebagai propaganda Amerika Syarikat (AS) bahawa AS adalah jaguh dalam peperangan mula dikeluarkan sebagai watak superhero pada Mac 1941. Watak ini dicipta oleh Joe Simon dan Jack Kirby. Malah keluaran pertamanya telah memaparkan lukisan Captain Amerika menumbuk pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler. Kemunculan watak ini benar-benar menjadi propaganda perang AS selain ingin mewujudkan watak seorang superhero yang sangat patriotik. Komik ini telah dijual sebanyak lebih 200 juta naskah di 75 negara di dunia.
Tidak sah jika kita tidak menceritakan tentang watak ini yang sememangnya dipuja di seluruh dunia. Komik Amazing Spiderman keluaran pertama pada 1963 dikatakan bernilai AS$200,000 (RM6400,000) dan masih terus mendapat sambutan hingga ke hari ini. Watak ini yang dicipta oleh Stan Lee dan Steve Ditko dikatakan antara komik awal yang dicetak dengan penuh ketelitian dan kualiti tinggi.
Satu lagi komik yang pastinya dianggap paling menonjol serta meninggalkan kesan kepada para pembacanya ialah komik pertama Superman. Komik ini yang dianggap umpama “Bible” oleh para penggemar komik di Barat telah dilukis dan ditulis oleh Jerome Siegel dan Joe Shuster. Komik ini memperkenalkan Superman sebagai “Juara kepada mereka yang lemah yang bersumpah untuk mempertahankan manusia di bumi” dan diterbitkan pada 1939. Watak ini sangat popular sehinggakan ia diberi peluang untuk menjadi watak superhero pertama dalam sejarah diberi penghormatan untuk dijadikan komik.
Berdasarkan harga dan minat yang mendalam tiada sesiapa dapat menafikan bahawa karakter yang wujud di dalam komik seperti ini banyak membantu kita terutama kanak-kanak dalam mengembangkan khayalan yang kemudiannya membentuk pemikiran ketika menjelang dewasa. Mungkin tidak adil untuk menyalahkan watak-watak ini sebagai penyebab kepada kanak-kanak merasa leka namun jika dibiarkan keterlaluan ia mungkin mendatangkan musibah. Namun kini telah terbukti bukan sahaja kanak-kanak yang terlalu terpengaruh dengan komik seperti ini. Apabila orang dewasa pula terlalu terpengaruh dan teruja maka harga komik yang pada asalnya berharga AS$0.10 sen kini meningkat kepada berjuta-juta dolar. Hakikatnya kini siapa yang lebih terpengaruh kanak-kanak atau pun mereka yang dewasa. Tepuk dada tanya selera.




{ 2 comments… read them below or add one }
@6569151421051832122.0
@phycrewz gaban xpe jnji puas mmbelinye,,hehe
@6164117168128480792.0
@kenwooi ye betul tu…time borink ler dye menemani kita..hehehe